Hukum Wanita Mengenakan Pakaian Ketat Untuk Mengerjakan Sholat

by

Pertanyaan:
Bolehkan perempuan bersolat dengan mengenakan pakaian ketat. Adakah batal solat saya jika memakai seluar dan telekung bahagian atas.

Jawaban:
Jika dilihat sekilas pandang, maka asas sempadan aurat wanita di dalam solat adalah sama dengan sempadan auratnya di luar solat apabila terdedah kepada pandangan lelaki ajnabi.

Namun bagi para ulama yang berpandangan bahawa terdapat perbezaan bagi sempadan aurat di dalam dan di luar solat, maka kebanyakan mereka menjadikan aurat di luar solat iaitu di hadapan lelaki ajnabi itu lebih ketat daripada aurat wanita ketika mengerjakan solat di tempat yang tidak dapat dilihat oleh lelaki ajnabi.

Ini adalah kerana bagi kebanyakan ulama, fitnah di dalam solat adalah lebih ringan berbanding fitnah di luar solat.

Justeru itu, tiada khilaf tentang perlunya membuka muka untuk mengerjakan solat, tetapi terdapat khilaf tentang wajibnya menutup muka di hadapan lelaki ajnabi di luar solat.

Begitu juga masih sah solat wanita yang bersolat dengan pakaian yang ketat apabila telah menutup bahagian auratnya kerana tidak ada dalil yang mengatakan sebaliknya. Namun begitu ada di kalangan ulama yang meletakkan hukumnya sebagai makruh.

Akan tetapi sekiranya pakaian yang ketat itu dipakai di hadapan lelaki ajnabi, maka hukumnya adalah haram dan berdosa.

Dukacitanya, hukum yang telah dirumuskan oleh para fuqaha berpandukan al-Quran dan al-Sunnah di atas tidak difahami dan tidak dipatuhi oleh sebilangan wanita Islam dewasa ini.

Amalan masyarakat yang mengetatkan penutupan aurat di dalam solat kerana khuatir ibadah mereka tidak sah, tetapi pada masa yang sama tidak begitu menitik beratkan penjagaan aurat di luar solat dalam kehidupan seharian adalah jelas bertentangan dengan hukum berkenaan.

Hal ini berlaku mungkin kerana masih terpisahnya aspek ibadah daripada soal kehidupan bagi kebanyakan anggota masyarakat kita.

Padahal sebagaimana menutup aurat di dalam solat itu adalah perintah Allah s.w.t, maka menutup aurat di luar solat juga adalah perintah Allah s.w.t yang wajib dipatuhi dengan sebaiknya.

Islam tidak menentukan pakaian yang khusus untuk dipakai oleh wanita ketika bersolat. Yang ditentukan oleh syarak ialah apa yang perlu ditutup, dan bukannya apa yang perlu dipakai.

Justeru itu, para muslimah tidak perlu terikat dengan pemakaian telekung solat sahaja untuk mengerjakan solat kerana solat wanita boleh dikerjakan dengan apa jua bentuk pakaian, asal sahaja menutupi bahagian auratnya serta tidak terlalu nipis sehingga menampakkan warna kulit. (Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, jilid 1, hlm. 580).

Mungkin apabila berada di rumah, memakai telekung solat yang khusus itu adalah lebih mudah kerana biasanya wanita memakai pakaian yang ringkas dan tidak memakai tudung kepala ketika berada di dalam rumah sesama mahramnya.

Namun apabila keluar dari rumah, seorang muslimah sepatutnya telah memastikan bahawa auratnya ditutup dengan sempurna agar tidak dilihat oleh lelaki ajnabi.

Justeru itu, solat wanita yang bertudung kepala bersama jubah, baju kurung atau baju labuh dengan seluar panjang yang longgar adalah sah di sisi syarak, setelah dapat dipastikan bahawa lengannya tidak tersingkap dan kakinya juga tertutup dengan sempurna sama ada dengan memakai stokin ataupun kain yang dilabuhkan.

Sumber: tazkirahminda.blogspot.co.id

Loading...
loading...
loading...