5 Peringkat Kesempurnaan Sholat




Firman Allah S.W.T; “Neraka Wail bagi orang yang solat. Yang mereka itu lalai dalam solatnya.” (Al-Maa’un: 4-5)

Firman Allah di atas menunjukkan ada manusia yang bersolat tapi solatnya membawanya ke neraka. Ini kerana orang yang lalai dalam solat menghasilkan solat yang tidak sempurna.

Begitulah solat boleh dibahagikan kepada beberapa kategori mengikut tahap kesempurnaannya. Apa yang dilihat sebagai sempurna pada zahirnya, belum tentu sempurna pada penilaian Allah.

Maka, berikut adalah 5 peringkat solat sempurna:

1. Sholat Orang Jahil
Sepertimana namanya, solat orang jahil dilakukan tanpa ilmu tentang solat. Dia tidak tahu tentang rukun solat dan perkara sunat dalam solat. Semuanya dilakukan tanpa mengikut peraturan. Dia tidak belajar tentang solat yang betul. Oleh itu, solatnya ditolak awal-awal lagi malah berdosa pula kerana tidak belajar.

2. Sholat Orang Lalai
Menghadirkan diri di dalam solat adalah hal yang penting. Maksudnya, bukan sahaja solat dilakukan secara zahir, namun hatinya juga perlu fokus kepada Allah S.W.T. Solat orang lalai dipenuhi dengan hal-hal duniawi yang mengganggu hatinya semasa berdiri, rukuk, sujud dan duduknya.

Malangnya Allah langsung tiada dalam solat orang seperti ini. Maka, neraka Wail lah tempat bagi mereka yang lalai dalam solat sepertimana firman Allah dalam surah Al-Maa’un, ayat 5.

3. Sholat Orang Separuh Lalai Separuh Khusyuk
Syaitan sering mengganggu terutama semasa solat. Begitulah yang terjadi kepada orang yang solatnya separuh lalai separuh khusyuk. Ada masanya dia lalai.

Namun bila tersedar, cepat-cepat ingatannya kembali kepada Allah. Tiba-tiba ingatannya kembali semula kepada hal duniawi sebelum dia tersedar dan ingat semula kepada Allah. Inilah yang dikatakan adanya tarik-menarik dirinya dengan syaitan. Walaupun dimaafkan, solat seperti ini tidak berpahala.

4. Sholat Orang Khusyuk
Solat orang khusyuk dipenuhi dengan ingatan kepada Allah. Hatinya tertumpu kepada Allah semata-mata sehingga duniawi lenyap dalam nikmat solatnya.

Dia memahami bacaan di dalam solat dan menghayatinya. Hatinya berdoa, memohon keampunan kepada Allah, merasa hina diri, dan mengingati keagungan Allah.

Solat seperti inilah yang akan mendekatkan diri kepada Allah, menguatkan iman, meningkatkan taqwa. Maka, ia sekaligus menepati kata-kata ‘solat menghindarkan diri dari dosa’. Ia telah melepaskan dirinya daripada perbuatan-perbuatan maksiat kerana cintanya kepada Allah semakin mendalam setiap kali bersolat.

InsyaAllah, di akhirat kelak, dia dianugerahkan syurga kerana solatnya yang sempurna.

5. Sholat Para Nabi Dan Rasul
Inilah peringkat tertinggi di dalam solat. Solat mereka seperti satu perbualan dengan Allah S.W.T. Khusyuk mereka lebih baik daripada solat orang khusyuk seolah-olah mereka dapat melihat Allah dengan mata hati.

Seperti orang sedang bercinta, mereka tidak pernah jemu bertemu Allah di dalam solat. Inilah nikmat sebenar solat.

Nikmat solat ini dijelaskan seperti sabda Rasulullah yang bermaksud: “Solat adalah penyejuk mataku.”

Begitulah indahnya solat para Nabi dan Rasul. Lalu, tempat mereka suda tentulah syurga tertinggi.

Marilah kita sama-sama memperbaiki solat kita. Kita usaha untuk mendapatkan solat khusyuk. Kita tingkatkan iman dan menjadi muslim dan muslimah yang cemerlang di dunia dan akhirat.

Sumber: tazkirah.net





Loading...